Wednesday, January 14, 2009

Saringan HIV Untuk Kebahagiaan Pasangan

Oleh Madzlina Nordin
madzlina77@yahoo.com

ALAM perkahwinan adalah episod kehidupan unik dan membahagiakan pasangan suami isteri. Keindahan dan kebahagiaan hidup berpasangan yang diikat dengan tali perkahwinan bukan suatu kebetulan, tetapi memerlukan perancangan dan persediaan berterusan sejak awal lagi.

Dalam hal ini, agama menganjurkan setiap individu memilih pasangan terbaik dan ideal untuk menjadi teman sehidup dan semati agar tidak menyesal di kemudian hari.

Memilih teman hidup bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana impian hidup berumah tangga untuk berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Perkahwinan sebenarnya adalah tuntutan agama dan perbuatan terpuji, justeru pasangan yang ingin dijadikan teman hidup mesti paling unggul baik dari segi lahiriah, rohaniah dan jasmaniah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya generasi paling baik yang kamu pilih untuk bekerja ialah generasi kuat lagi dapat dipercayai.” (Surah al-Qashash: 26)

Bagi menyediakan garis panduan, persediaan, tunjuk ajar dan didikan dalam alam perkahwinan, kerajaan mewajibkan setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mengikuti kursus intensif praperkahwinan sebagai persiapan awal sebelum mereka dibenarkan bernikah.


Ini bagi memastikan kedua-dua bakal suami dan isteri bersedia melangkah ke alam rumah tangga dengan bekalan ilmu perkahwinan, memahami hak dan tanggungjawab suami isteri, mengaplikasikan petua kebahagiaan rumah tangga, melaksanakan segala tuntutan dan menurut batasan agama yang perlu dipatuhi dan sebagainya.

Untuk memastikan setiap pasangan selamat, sihat serta bebas penyakit berisiko tinggi, mulai tahun ini semua bakal pengantin beragama Islam diwajibkan menjalani ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV).

Peraturan ini dikuatkuasakan dengan saringan itu sebahagian daripada syarat utama kursus praperkahwinan.

Langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jangkitan HIV, terutama kepada wanita yang kini menunjukkan peningkatan mendadak dari semasa ke semasa sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007 dan sepanjang enam bulan pertama 2008, ia berada pada 18.57 peratus.

Keadaan ini sangat menakutkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Inisiatif ujian ini bukan menyekat hak, kepentingan dan kehendak setiap pasangan berkahwin.

Ia juga bukan satu bentuk diskriminasi atau penganiayaan kepada pasangan ingin berumah tangga.

Peraturan baru ini membuktikan komitmen semua pihak untuk berusaha mencegah virus berbahaya ini daripada merebak kepada insan tidak berdosa.

Kajian mendapati hanya 19 peratus rakyat Malaysia menjalani ujian dengan aktif, manakala 14 peratus lagi hanya berbuat demikian selepas mengetahui pasangan mereka positif HIV.

Secara positifnya, melalui ujian saringan ini akan memudahkan setiap pasangan mengetahui tahap kesihatan dan status HIV pasangan masing-masing lebih awal lagi.

Biarpun begitu, selepas keputusan ujian dikeluarkan, terpulang kepada pasangan sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya, melihat kepada implikasi dan kesannya pada masa akan datang.

Seseorang dijangkiti HIV hanya akan menghidap Aids apabila sistem imuniti badan (sel darah putih) teruk dirosakkan virus berkenaan sehingga tidak dapat menentang jangkitan kuman biasa mahupun ketumbuhan (tumor).

Oleh itu, ujian ini amat penting kepada masa hadapan bakal pengantin dan keputusan yang diperoleh kelak tidak boleh dirahsiakan jika seseorang menjadi penghidap virus berbahaya itu.

Ia tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak kerana amat mustahak bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk jangkitan HIV kepada pasangan dan anak yang bakal dilahirkan.

Kita juga bimbang generasi modal insan yang akan lahir di kalangan mereka yang lemah dan mundur jika dijangkiti HIV positif dan langkah pencegahan tidak dilaksanakan segera.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati di peringkat global, 0.63 juta kanak-kanak baru dikesan mendapat HIV, manakala 2.1 juta kanak-kanak hidup dengan HIV dan 15 juta pula anak yatim.

Pepatah Arab ada mengatakan ‘Alwiqayah khairum minal ilaj’, atau ‘mencegah lebih baik daripada mengubat’ manakala pepatah Melayu menasihatkan ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Kata-kata hikmah itu sangat tepat dalam mencegah HIV daripada terus merebak dan menjangkiti orang lain melalui perkahwinan.

Dari segi kumulatif, bilangan jangkitan HIV setakat ini ialah 83,527 orang.

Sebelum ini, hanya Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor dan Kelantan mewajibkan bakal pengantin perlu menjalani saringan ujian HIV.

Kini, semua pasangan yang hendak berkahwin perlu melalui ujian yang sangat penting ini sebelum mereka boleh bergelar suami isteri. Sumber: http://www.hmetro.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP