Wednesday, January 14, 2009

An-Nur: Tertib Cerai Isteri

Perceraian jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang bermasalah sama ada ketidakserasian atau masalah lain berkait dengan kezaliman, tidak tunai tanggung jawab.

Beberapa pendapat ulama menyatakan talak amat dibenci sehingga sampai tahap dilarang dan hanya diharuskan apabila cukup syarat atas nama ‘keringanan’ atau ‘rukhsah’.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak (perceraian suami isteri)" (Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih)

Namun, pendapat ini tidak kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talak ke atas Hafsah Binti Umar Al-Khattab dan kemudian rujuk kembali. Kesimpulannya ia hanya makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247)

Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah: “Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kahwin cerai dan perempuan yang suka kahwin cerai.” (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)

Namun demikian, talak yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan disiplin yang ditentukan Islam seperti berikut:

1. Jangan dicerai ketika isteri haid dan nifas.

Haram dan berdosa hukumnya suami menjatuhkan talak jika isterinya dalam keadaan haid, nifas dan selepas disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.

Bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dalam tiga situasi itu. Ini tanda fitrahnya (bertepatan naluri manusia normal) kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang suami wajib menjauhi isterinya.

Barangkali kerana terhalangnya dan ketidakmampuan mengawal nafsunya itu yang mendorongnya menjatuhkan talak.

Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Diketahui umum, mental dan naluri isteri tidak stabil pada waktu haid dan nifas.

Syeikh Al-Qaradawi berkata : “Sebagaimana diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebabnya, siapa tahu barangkali si perempuan itu memperoleh benih daripada suaminya pada kali itu.

“Dan barangkali juga kalau si suami selepas mengetahui isterinya hamil kemudian dia akan mengubah niatnya, dan dia dapat hidup senang bersama isteri kerana ada janin yang dikandungnya.” (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

Dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dikisahkan, Abdullah bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian ini sewaktu Rasulullah SAW masih hidup. Bertanyalah Umar kepada Rasulullah SAW, maka jawab Nabi:

Ertinya : “Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) rujuk kembali, kemudian jika dia mahu, cerailah isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya.

Itulah yang disebut mencerai pada idah, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firmanNya: “Hai Nabi! Apabila kamu hendak mencerai isterimu, maka cerailah dia pada idahnya. Yakni menghadapi idah, iaitu di dalam keadaan suci.”

Dalam satu riwayat disebutkan: “Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian cerailah dia dalam keadaan suci atau mengandung.” (Riwayat Bukhari)

Jika dijatuhkan talak ketika haid, adakah sah?

Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talak itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan satu hadis mengenai Abdullah Ibn Umar tadi. Apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, Rasullullah mengarahkannya agar segera rujuk kembali.

Ini bererti talaknya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, halaman 225)

Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talak tidak jatuh dan tidak sah, sebab talak itu sama sekali tidak menurut aturan syarak dan tidak dibenarkan. Oleh itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah? Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaknya.

2. Perempuan yang dicerai tetap tinggal di rumah suami selama dalam idah.

Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam idah. Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.

Hal ini disebabkan suami, selama dalam idah, masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada perlindungan perkahwinan untuk sekali lagi apabila talak ini baru satu atau dua kali.

Seorang isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami mampu membuka ruang untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir sebelum habis edah itu.

Sebelum berakhirnya bulan-bulan idah perempuan diperintahkan supaya menunggu supaya yakin akan bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan kehormatan isteri.

Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru, seorang yang sedang marah kadangkala menjadi rela, orang yang naik pitam kadangkala menjadi dingin dan orang yang benci kadangkala menjadi cinta.

Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang demikian itu batas-batas ketentuan Allah.

“Dan barang siapa melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia sudah berbuat zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barang kali Allah akan mengadakan hal baru sesudah itu.”(at-Thalaq: 1)

3. Talak mesti dijatuhkan mengikut aturan kiraan.

Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talak untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talak dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya.

Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis edah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalam edah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis edah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan akad dan mahar (maskawin) baru. Jika dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si suami kembali kepada isterinya sesudah talak satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talak yang kedua, si lelaki masih boleh rujuk semula dalam tempoh idah.

Dan, kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini suatu bukti nyata, bahawa perceraian antara kedua-duanya harus dikukuhkan, sebab penyesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh itu, dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si lelaki itu, sampai dia kahwin dengan orang lain secara syarie. Bukan sekadar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam). Sumber: http://www.hmetro.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP