Saturday, January 24, 2009

Kemelut Pengantin Baru

Soalan

SAYA ingin meminta pandangan Dang Setia mengenai masalah saya, iaitu baru dua bulan berkahwin tapi rumah tangga menuju kehancuran.

Hanya dua minggu pertama perkahwinan kami hidup bahagia, tapi selepas itu isteri seolah-oleh berubah hati.

Puncanya, saya berhenti kerja sebulan sebelum kami berkahwin. Bukan sengaja saya hendak berhenti kerja, tapi disebabkan pihak syarikat menukar saya ke cawangan yang jaraknya lebih jauh.

Pada masa ini saya masih mencari pekerjaan, tapi isteri seolah-olah menjauhkan diri. Puas saya beritahu dia supaya bersabar. Saya tetap mencari pekerjaan, tapi dia langsung tidak pedulikan saya bila saya ada di rumah.

Hinggalah sampai ke peringkat saya tidak dibenarkan berjumpa dia apabila saya balik ke kampung. Bila saya mengajaknya berbincang untuk menyelesaikan masalah kami, ajakan saya tidak diendahkan.

Sikapnya membuatkan saya naik marah dan hampir memukulnya. Saya buat begitu bukan kerana ingin memukulnya, tapi mahu dia dengar kata. Saya tiada niat hendak memukulnya. Disebabkan peristiwa itu, kami duduk berasingan sekarang.

Kini, kami menanti hari untuk menghadiri sesi kaunseling di pejabat agama. Dang Setia, adakah saya bersalah bila jadi macam ini? Saya sudah beribu kali memohon ampun dan maaf pada isteri, tapi sekarang dia ingin berpisah dengan saya.

Saya tidak dapat terima kenyataan ini. Walaupun berjauhan dengan dia, hati saya terlalu rindu padanya. Ketika ini saya masih mengharapkan sinar kebahagiaan kembali pada kami berdua.

Saya terlalu menyintai dia dan tidak sanggup kehilangan dia. Andai dia terbaca luahan ini, percayalah yang saya cuma ada dia dalam hati.

SH

Jawapan


Sayu Dang Setia membaca surat saudara. Seharusnya dalam tempoh perkahwinan yang masih dikategorikan dalam zon berbulan madu, saudara dan isteri bergembira menikmati detik manis berumahtangga, namun lain pula yang berlaku.

Begitupun, apa yang saudara alami sebenarnya bukan luar biasa. Memang kerap berlaku pasangan baru berkahwin mengalami masalah disebabkan gagal mencari keserasian dan tempoh mencari keserasian pula berbeza di antara satu pasangan dengan pasangan lain.

Ada yang mengambil masa singkat, ada yang berbulan-bulan dan ada juga yang bertahun-tahun masih timbul masalah kerana gagal menemui keserasian yang dicari. Sedangkan ketika bercinta atau bertunang, masing-masing berasa serasi dan saling memahami.

Perkara itu berlaku kerana hidup berumahtangga berbeza dengan zaman bercinta. Biasanya, selepas berkahwin, baru muncul perkara negatif masing-masing. Dang Setia percaya, itulah peringkat yang saudara alami sekarang.

Saudara dan isteri sebenarnya masih dalam proses menyesuaikan diri. Oleh itu, jangan cepat kecewa atau putus asa dengan perkahwinan. Dang Setia yakin masih ada ruang untuk mengatasi masalah saudara dan cara berkesan dengan mencari punca masalah.

Saudara mengatakan masalah timbul selepas isteri berubah sikap dan perubahan sikapnya pula berpunca daripada tindakan saudara berhenti kerja, kira-kira sebulan sebelum perkahwinan berlangsung.

Justeru saudara tahu, untuk menyelesaikan masalah, saudara perlu mencari pekerjaan lain dan itu yang saudara lakukan sekarang, malangnya isteri yang sepatutnya menyokong mengambil sikap sebaliknya.

Secara kasar, nampak seperti punca masalah ini adalah isteri saudara, namun terdetik juga di fikiran Dang Setia, mengapa semudah itu isteri bersikap menentang dan tidak memihak kepada saudara?

Sebenarnya, apa yang ingin Dang Setia setia tekankan ialah, sebelum kita menuding jari dan meletakkan kesalahan ke atas orang lain, sewajarnya kita terlebih dulu menilai diri sendiri. Ini kerana, mungkin kelemahan pada diri kita menyebabkan orang lain bersikap tidak selari dengan kita.

Jangan salah faham, Dang Setia tidak menyalahkan saudara dalam hal ini, sebaliknya cuma mahu saudara melihat semula ke dalam diri sendiri untuk mencari kelemahan yang mungkin menjadi punca masalah. Maklumlah, memang lumrah manusia salah orang kita senang nampak, tapi salah sendiri kita sering terlepas pandang.

Pada masa sama, Dang Setia berharap saudara lebih banyak bersabar dalam menangani kerenah isteri. Jangan terlalu ikut darah muda dan ringan tangan untuk memukul isteri. Biarpun niat saudara untuk mengajarnya, tapi memukul adalah perbuatan yang terlalu sensitif bagi seorang isteri.

Memang Islam membenarkan suami memukul isteri untuk tujuan mengajar, namun ia ada kaedah dan peraturannya.

Pertama, isteri perlu diberi peringatan terlebih dulu, kedua suami memprotes dengan beralih tempat tidur dan selepas itu baru isteri boleh dipukul. Itupun dengan perlahan dan tidak mencederakannya.

Mungkin, tindakan saudara ingin memukulnya membuatkan isteri kini berkecil hati dan bersikap dingin terhadap saudara. Memandangkan saudara dan isteri kini tinggal berasingan, pergilah berjumpa dan pujuk isteri dengan lemah lembut. Tidak hilang ego seorang lelaki atau suami jika berlembut dengan isteri.

Komunikasi atau perbincangan dua hala sangat penting dalam kehidupan berumah tangga. Perbincangan juga harus berlangsung dalam suasana harmoni dengan matlamat mencari jalan penyelesaian dan bukan dalam suasana marah, untuk mencari siapa betul atau siapa salah.

Saudara juga harus memanfaatkan sesi kaunseling dengan jabatan agama yang bakal saudara dan isteri lalui. Sebagai suami, saudara ada kelebihan untuk menetapkan hala tuju masa depan rumah tangga. Jangan salahguna kelebihan itu untuk dengan mudah melafazkan talak kepada isteri.

Jikapun isteri gagal mengawal perasaannya kerana mungkin masih kurang matang, saudara sebagai suami atau ketua keluarga perlu lebih bijak mengawal keadaan dan berpandangan jauh untuk menyelamatkan rumah tangga.



Sumber: http://www.hmetro.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP