Wednesday, January 14, 2009

Isteri Mahu Cerai

SAYA berkahwin dengan suami selama 17 tahun dan mengenalinya 23 tahun. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Alhamdulillah kami dikurniakan dua anak berumur 16 tahun dan tujuh tahun.

Saya berumur 39 tahun dan bekerja sepenuh masa. Suami pula berusia 42 tahun. Walaupun pada masa silam kami banyak melalui onak dan duri, kami masih bertahan hingga ke saat ini.

Masalahnya, sekarang saya mulai bosan dengan perbuatannya yang saya tidak suka. Memang saya akui tiada seorangpun yang dilahirkan sempurna di muka bumi ini. Saya yakin dia tahu saya tidak suka semua kelemahannya.

Bagi saya, kelemahannya terlalu banyak. Walaupun puas saya menasihatinya, dia masih tidak berubah. Baginya, “take it or leave it.” Di sini saya senaraikan perbuatan dan kelemahannya yang saya tidak suka:



> Merokok.
> Panas baran. Apabila marah, dia ringan tangan tetapi tidaklah sampai ke tahap melukakan saya.
> Selalu membuat sesuatu secara perlahan. Antaranya bersiap untuk keluar.
> Boros.
> Tidak membantu akan kerja rumah.
> Cerewet terhadap makanan yang saya masak.



Saya pernah membincangkan masalah ini dengan anak perempuan yang juga anak sulung saya. Saya beritahu hasrat saya untuk berpisah dengan bapanya. Oleh kerana dia juga tidak suka bapanya, dia menggalakkan saya meneruskan hasrat itu.

Suami saya seorang yang bertanggungjawab nafkah zahir dan batin, tetapi saya masih rasakan diri saya tidak bahagia. Masalahnya, jika saya berpisah dengan suami atas sebab di atas, adakah ia langkah bijak dan berbaloi?

Adakah masalah rumah tangga saya sebenarnya kategori remeh? Atau adakah saya harus terus bersabar dan berdoa semoga satu hari nanti suami saya akan berubah? Kami mengerjakan umrah bersama pada 2006.

LAILI

Kebiasaannya, apabila diajukan soalan mengenai suami yang bersikap negatif hingga hidup isterinya menderita, antara pilihan tindakan yang sering Dang Setia cadangkan pada isteri ialah memikirkan kemungkinan menamatkan saja perkahwinan.

Dang Setia mencadangkan begitu kerana berpegang kepada prinsip setiap manusia (tidak kira lelaki atau wanita) ada hak untuk menentukan kehidupannya sendiri. Kalau suami bermasalah, takkan sepanjang hayat isteri harus hidup menderita.

Oleh itu, lebih baik bercerai kerana ada banyak kemungkinan si isteri lebih bahagia apabila hidup bersendirian. Bagaimanapun dalam kes puan, Dang Setia berpendirian untuk memberi jawapan berbeza.

Ini kerana, bagi Dang Setia, sikap negatif suami tidak cukup kuat untuk membuatkan puan menuntut cerai. Bukan apa, mungkin kerana Dang Setia sering didedahkan dengan sikap suami yang lebih teruk.

Jika puan selalu mengikuti ruangan ini, Dang Setia yakin puan pasti bersetuju banyak sikap suami lain yang lebih teruk seperti tidak beri nafkah zahir dan batin, tidak pulang ke rumah, curang, menipu, suka pukul isteri dan banyak lagi.

Namun, Dang Setia tidak mahu meremehkan masalah yang membelenggu puan. Bak kata orang, kita mungkin menganggap ia remeh kerana kita tidak melaluinya. Jika kena batang hidung sendiri, baru kita tahu langit itu tinggi atau rendah.

Satu yang pasti, senarai masalah sikap suami menjadi teramat serius kerana ia menyebabkan puan berasa tidak bahagia dalam hidup puan kini. Hilangnya kebahagiaan sememangnya perkara serius kerana semestinya keseluruhan hidup kita terjejas.

Bagaimanapun, satu persoalan penting yang Dang Setia ingin puan fikirkan ialah jika hidup puan sekarang tidak bahagia, adakah puan yakin kebahagiaan yang puan inginkan itu hanya mampu ditemui selepas puan bercerai?

Atau dalam erti kata lain, adakah tiada lagi cara lain yang membolehkan puan menemui kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga dengan suami sekarang dan sememangnya perceraian jalan penyelesaian terbaik?

Puan, cuba renung dan fikirkan semasak-masaknya, adakah puan benar-benar bersedia untuk menempuh hidup sebagai ibu tunggal? Dang Setia bukan ingin menakut-nakutkan puan, tapi mahu puan berfikir lebih panjang sebelum bertindak.

Ini kerana ramai ibu tunggal atau kata pasarnya, janda selalu mengadu pada Dang Setia cabaran yang terpaksa dilalui mereka sangat getir.

Pandangan serong masyarakat dan tekanan untuk menyerap segala beban hidup secara bersendirian, sesungguhnya cabaran yang bukan mudah untuk diharungi.

Maksudnya, jika diberi pilihan, mereka semua tidak mahu hidup menjanda, namun disebabkan keadaan memaksa dan jalan penyelesaian lain tidak wujud, mereka terpaksa melalui jalan hidup yang penuh berliku itu.

Mungkin ada baiknya puan berjumpa rakan puan yang bergelar ibu tunggal untuk bertanyakan pengalaman dan pendapatnya. Dang Setia yakin apa yang bakal diceritakannya pasti menjadi input berguna buat puan.

Tanya juga pendapat ibu bapa dan individu lain yang lebih matang sebagai rujukan dan bukan sekadar bertanya anak puan yang usianya lebih muda serta sememangnya menyimpan persepsi negatif terhadap ayahnya.

Seperkara lagi berkaitan dengan ibu tunggal dan hidup sendirian, pernah ke puan terfikir mengenai kesunyian? Bagaimana pula soal keperluan seksual? Dalam surat puan, soal seksual puan langsung tidak disentuh, jadi Dang Setia yakin antara puan dan suami, tidak wujud masalah ini.

Jika benar begitu, mampukah puan menahan nafsu apabila hidup bersendirian? Jangan kata perkara ini tidak penting atau tidak relevan. Bagi Dang Setia, seks adalah naluri dan fitrah semula jadi manusia yang perlu diuruskan dengan cara betul.

Pada usia 39 tahun, Dang Setia yakin keperluan dan kehendak seksual puan masih wujud, malah mungkin masih tinggi.

Justeru, perkara ini juga perlu puan fikirkan kerana puan tidak sepatutnya menipu diri sendiri dengan berkata “tidak apa”, sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Selain itu, timbul persoalan di benak Dan Setia, mengapa baru sekarang sesetengah sikap suami menjadi masalah besar kepada puan dan tidak sebelum ini.

Sebagai contoh, merokok. Adakah dulu sebelum kahwin suami puan tidak merokok? Kebiasaannya, perokok tegar bermula sejak muda lagi.

Jadi, jika dulu puan boleh menerima dia merokok, kenapa sekarang tidak. Begitu juga dengan sikapnya yang cerewet dan panas baran. Dang Setia percaya, puan mengesan sikapnya sejak sebelum berkahwin lagi.

Persoalannya, kenapa dulu semuanya ok tapi sekarang jadi ko? Mungkin dulu ketika bercinta, segala-galanya baik. Segala perkara buruk hanya dipejamkan mata dan turut dianggap baik kerana yang penting adalah cinta.

Namun kini selepas sekian lama iaitu selama 17 tahun memendam rasa, baru puan sedar puan tidak boleh tahan lagi dengan segala sikap buruknya, lantas memikirkan untuk membuangnya daripada kehidupan puan.

Bagi Dang Setia, yang buruk tetap buruk dan Dang Setia juga tidak mahu mengatakan suami puan tidak bersalah. Namun, yang penting ialah puan perlu membuka fikiran seluas-luasnya dengan menyedari bahawa sebenarnya masih wujud alternatif lain untuk puan berusaha mengubah sikap suami, sekali gus membolehkan puan mengecap kebahagiaan.

Puan menyatakan sudah puas meminta dan menyuruhnya berubah namun dia enggan, jadi izinkan Dang Setia bertanya pernahkah puan bertanya suami apakah pula kelemahan atau kekurangan puan di matanya? Tidak mustahil, dia juga boleh membuat satu senarai mengenai hal itu.

Jadi, di sini sebenar kuncinya. Apabila dia memberi senarai kelemahan puan, buat perjanjian dengannya iaitu “mari kita sama-sama berubah.” Dang Setia percaya cara ini pasti lebih berkesan kerana ia membabitkan kedua-dua pihak.

Ia juga dirasakan lebih adil kerana bukan puan saja yang memintanya berubah, tapi pada masa sama puan perlu berubah untuk kebaikan bersama.

Akhir sekali, biasanya nasihat ini Dang Setia berikan kepada suami, tapi rasanya ia sesuai dan tidak salah untuk Dang Setia berikan pada puan.

Ketika suami puan tidur pada malam yang hening, tenung dan tataplah wajahnya dengan hati yang suci serta penuh keinsafan.

Sama ada puan suka atau tidak, wajah itulah yang selama 17 tahun lalu bekerja bertungkus lumus untuk mencari rezeki bagi menyara dan membahagiakan puan serta anak.

Kemudian, tanya diri puan, adakah enam kelemahannya yang puan senaraikan mampu mengatasi jasa dan sumbangannya selama 17 tahun lalu?

Jika jawapan puan ya, teruskan hasrat puan untuk meminta cerai daripadanya dan Dang Setia doakan puan akan menemui kehidupan lebih bahagia selepas ini.
Sumber: http://www.hmetro.com.my

2 comments:

Unknown August 9, 2017 at 11:20 PM  

Astaqfirullah..
Sebaik2nya nasihatkan membaiki masjid, bkn beri jalan meruntuhkannya... Fikirkanlah...

Unknown August 9, 2017 at 11:22 PM  

Bawalah berbincang, jika keadaan seperti tegang.. Pergilah pejabat agama dapatkan nasihat kaunseling...
Semoga dang setia dapat bermunasabah dalam memberi nasihat di entri mendatang...

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP