Wednesday, January 14, 2009

Hari Nikah Dah Dekat, Duit Tak Cukup

SOALAN

SAYA berusia 24 tahun dan bertunang dengan jejaka pilihan berusia 31 tahun. Orang kata dugaan dalam bertunang memang banyak, tapi dugaan paling mencabar bila duit simpanan tunang saya terpaksa digunakan untuk menyelamatkan keluarga dia.

Keluarga tunang saya mempunyai masalah kewangan dan rumah yang mereka duduki bakal ditarik. Disebabkan tunang saya ada wang simpanan untuk belanja kahwin dan adik beradiknya tidak semewah mana, tunang saya terpaksa korbankan semua duit belanja kahwin bagi menyelamatkan rumah keluarganya.

Tempoh pertunangan sudah hampir setahun. Tunang saya kini tiada simpanan langsung untuk perkahwinan kami. Kami cuba menangguh perkahwinan kami bagi memberi ruang kepada tunang saya mencari duit kembali.

Saya seboleh-bolehnya tidak mahu berita ini sampai ke pengetahuan keluarga saya kerana sebenarnya tunang saya bukan pilihan keluarga. Tunang saya cuma lulusan SPM dan berasal daripada keluarga yang agak kekampungan.



Jika keluarga saya tahu perkara ini, pasti masalah besar akan berlaku. Biarpun tunang saya hanya lulusan SPM, saya menyintainya. Dia bercita-cita tinggi dan selalu melindungi saya. Sifat matangnya dan sering menasihati saya supaya jangan tinggalkan solat adalah ciri yang saya inginkan.

Bukan pangkat atau darjat yang menjadi pilihan saya. Tunang saya sentiasa bersabar dengan sikap saya yang degil dan suka melawan.

Walaupun saya sering bertelagah dengan keluarga yang suka mencari kelemahannya, tunang saya tidak pernah menyuruh saya membenci keluarga saya.

Sekarang, ayah sudah menetapkan tarikh perkahwinan selepas Aidilfitri kelak, sedangkan wang tunang saya masih tidak cukup.

Kesian saya lihat tunang saya yang bertungkus lumus mencari duit. Mujur hantaran dan barang kemas sudah kami beli, tetapi mana kami hendak cari dalam RM10,000 dalam masa singkat?

Tunang saya pernah cuba buat pinjaman bank tetapi gagal kerana tidak cukup syarat. Saya yang ingin membantunya pun gagal kerana gaji saya tak cukup. Lagipun saya bimbang jika keluarga saya tahu.

Kami sudah puas berusaha, tapi benarlah kata orang, ketika susah ramai yang akan larikan diri. Diharap Dang Setia dapat menyelesaikan masalah kami.

TUNANG BUNTU

JAWAPAN

Berdepan masalah membabitkan ibu bapa memang sesuatu yang merumitkan. Namun, dalam apa jua keadaan pendirian Dang Setia tetap sama, sebagai anak kita perlu beralah dan berusaha semaksimum mungkin untuk mengelak hati ibu bapa terluka.

Dalam kes saudari, Dang Setia berpendapat tidak banyak pilihan yang saudari ada melainkan berterus terang dengan ibu bapa.

Biarpun sedar tindakan itu memberi kesan buruk kepada saudari dan tunang, Dang Setia melihat ia juga mampu menghadirkan peluang untuk masalah saudari diselesaikan dengan cara baik.

Satu hakikat penting, dalam urusan perkahwinan, peranan ibu bapa tidak boleh diketepikan. Sama ada suka atau tidak, senang atau susah, seorang anak yang hendak berkahwin perlu mendapat kerjasama ibu bapanya dalam semua hal.

Maksudnya, apa saja masalah berbangkit ibu bapa perlu tahu mengenainya kerana tindakan menyembunyikan masalah akan menghadirkan masalah lebih besar.

Namun nak tak nak, saudari perlu terima segala kemungkinan dengan sabar. Ini kerana, jika saudari diamkan, pastinya mereka beranggapan segala-galanya ok dan majlis perkahwinan yang dijadual selepas Aidilfitri kelak tetap akan mereka langsungkan.

Jadi, jika pada saat akhir baru saudari dan tunang ingin berterus terang, tentu keadaan ketika itu akan lebih rumit. Ibu bapa saudari mungkin akan lebih marah kerana saudari tidak berterus terang lebih awal.

Saudari, sedarlah tiada ibu bapa yang mahu anak mereka tidak bahagia. Jadi, Dang Setia percaya ibu bapa saudari ‘tidak berminat’ menjadikan tunang saudari yang berkelulusan SPM sebagai menantu, bukan kerana sengaja ingin menyusahkan saudari tapi dengan niat melihat masa depan anaknya lebih terjamin.

Namun, sama ada saudari sedar atau tidak, di sebalik keinginan mereka, ibu bapa saudari akhirnya mengalah dan menurut permintaan saudari apabila bersetuju dengan lelaki pilihan saudari.

Berdasarkan situasi itulah Dang Setia percaya masih ada ruang dan peluang untuk masalah saudari diselesaikan secara baik.

Selepas saudari berterus terang mengenai masalah yang dihadapi, ada kemungkinan ibu bapa saudari bersetuju menangguhkan perkahwinan atau menanggung kos perkahwinan.

Logiknya, mereka pasti tidak mahu anak mereka berkahwin dalam suasana kelam kabut hingga memalukan keluarga.

Akhir sekali,mengikut Islam, perkahwinan tidak memerlukan kos terlalu besar tapi yang lebih utama ialah memenuhi rukun serta syarat sahnya.



Justeru, keluarga jika keluarga saudari dan tunang memahami hakikat ini tidak perlu diadakan majlis perkahwinan yang besar. Rasanya perlu juga Dang setia tekankan mengenai kesilapan masyarakat kita yang terlalu mementingkan adat dan pandangan orang ramai dengan menganggap melangsungkan perkahwinan dengan kenduri besar-besaran adalah satu keperluan.

Justeru, keluarga jika keluarga saudari dan tunang memahami hakikat ini tidak perlu diadakan majlis perkahwinan yang besar. Sumber: http://www.hmetro.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP