Wednesday, January 14, 2009

Dilema Kahwin Tanpa Izin Keluarga

SOALAN

SAYA berusia 24 tahun, berkahwin dengan lelaki berbangsa asing di luar negara tanpa izin keluarga dan kini mempunyai seorang anak berusia enam bulan.

Masalahnya ialah keluarga saya enggan menerima suami saya malah memberikan amaran yang saya tidak lagi dibenarkan menemui mereka (keluarga) sekiranya saya memilih untuk menetap bersama suami.

Jadi, sekarang suami terpaksa menetap sendirian kerana saya tidak dibenarkan menemuinya lagi. Jika saya memilih untuk menetap dengan suami, apakah saya dikira derhaka kepada ibu bapa?

Sudah puas saya cuba meyakinkan ibu bapa yang suami saya bukanlah jahat seperti mereka sangka tetapi mereka tetap membencinya sepenuh hati sehingga bayi saya juga tidak dibenarkan menemui bapa kandung sendiri.


Saya hiba mengenangkan nasib anak saya itu. Saya amat memerlukan nasihat Dr dalam menyelesaikan perkara ini dan memberi pedoman dengan siapakah saya lebih wajar tinggal bersama, keluarga atau suami?

AZRYNA,
Pulau Pinang.

JAWAPAN

MASALAH yang berlaku berpunca daripada perkahwinan tanpa izin keluarga. Ini kerana keluarga anda sangat mengambil berat ahli keluarga.

Cara penyelesaian yang utama ialah dengan terlebih dulu mendaftarkan perkahwinan berkenaan di Mahkamah Syariah di Malaysia dengan mengemukakan borang permohonan yang tertentu.

Mahkamah akan mengesahkan perkahwinan berkenaan apabila cukup bukti. Ini penting bagi menentukan status anda sebagai suami isteri di sudut undang-undang negara.

Kedua, keluarga suami dan suami perlu mengunjungi keluarga anda bagi meminta maaf dan menyambung tali perhubungan keluarga.

Ketiga, anda perlu sendiri meminta maaf atas keterlanjuran kepada keluarga seikhlas mungkin. Pilihlah masa yang sesuai dalam menyakinkan keluarga anda.

Keempat, berdoa dan dirikanlah solat Hajat agar Allah membuka hati keluarga dan suami untuk berbaik-baik, demi kesejahteraan bersama.
Sumber: http://www.hmetro.com.my

0 comments:

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP