Wednesday, February 4, 2009

Hukum Wasiat Harta Untuk Anak Luar Nikah

SOALAN

SETAHU saya hubungan antara bapa zina dan anak zinanya ialah seperti orang lain iaitu muhrim dan sah berkahwin. Bagaimana pula kalau si bapa zina ini bertindak mahu mengakui anak zinanya sebagai anak kandung, sedangkan pasangan atau ibu kepada anak zina itu masih isteri orang.

Apakah hukumnya jika bapa zina itu mewasiatkan harta kepada anak zinanya, sedangkan setahu saya mereka tiada hak ke atas anak itu. Jika diserahkan juga harta, adakah waris (anak kandung atau adik beradik) kepada bapa penzina itu berhak mempertikaikan wasiat ini? Bukankah waris lebih berhak, terutama isteri, kerana anak zina dan bapa zina tiada kaitan dan mereka dibolehkan berkahwin?

ALIAS
Bukit Mertajam



JAWAPAN

Pernyataan tuan mengenai anak zina ini memang benar iaitu anak luar nikah atau anak zina tiada hubungan langsung dengan lelaki yang menghamilkan ibunya walaupun sah itu benihnya. Sebarang hubungan yang berlaku di luar perkahwinan tidak akan diiktiraf.

Anak ini hanya sah pada ibunya. Apalagi ibu sudah berkahwin dengan orang lain dan jika anak ini lahir lebih enam bulan daripada perkahwinan ibu dengan lelaki lain, anak berkenaan sah dinasabkan pada suaminya walaupun dia bukan bapa sebenar.

Benih atau air mani bukan penentu pada anak. Justeru, lelaki itu tidak berhak mengaku bapanya.

Dalam soal wasiat, seseorang boleh mewasiatkan hartanya pada sesiapa saja yang dikehendaki ketika masih hidup. Jika ‘bapa’ tadi mahu mewasiatkan pada anak luar nikahnya dia boleh berbuat demikian.

Waris tidak boleh mempertikaikan kerana ini adalah wasiat selama mana mereka juga mempunyai hak dalamnya.

Harta ini tidak dibahagikan ikut faraid, sebaliknya ketika hidup si ‘bapa’ sudah pun membuat pembahagian.



Sumber: http://www.hmetro.com.my

Saturday, January 24, 2009

Kemelut Pengantin Baru

Soalan

SAYA ingin meminta pandangan Dang Setia mengenai masalah saya, iaitu baru dua bulan berkahwin tapi rumah tangga menuju kehancuran.

Hanya dua minggu pertama perkahwinan kami hidup bahagia, tapi selepas itu isteri seolah-oleh berubah hati.

Puncanya, saya berhenti kerja sebulan sebelum kami berkahwin. Bukan sengaja saya hendak berhenti kerja, tapi disebabkan pihak syarikat menukar saya ke cawangan yang jaraknya lebih jauh.

Pada masa ini saya masih mencari pekerjaan, tapi isteri seolah-olah menjauhkan diri. Puas saya beritahu dia supaya bersabar. Saya tetap mencari pekerjaan, tapi dia langsung tidak pedulikan saya bila saya ada di rumah.

Hinggalah sampai ke peringkat saya tidak dibenarkan berjumpa dia apabila saya balik ke kampung. Bila saya mengajaknya berbincang untuk menyelesaikan masalah kami, ajakan saya tidak diendahkan.

Sikapnya membuatkan saya naik marah dan hampir memukulnya. Saya buat begitu bukan kerana ingin memukulnya, tapi mahu dia dengar kata. Saya tiada niat hendak memukulnya. Disebabkan peristiwa itu, kami duduk berasingan sekarang.

Kini, kami menanti hari untuk menghadiri sesi kaunseling di pejabat agama. Dang Setia, adakah saya bersalah bila jadi macam ini? Saya sudah beribu kali memohon ampun dan maaf pada isteri, tapi sekarang dia ingin berpisah dengan saya.

Saya tidak dapat terima kenyataan ini. Walaupun berjauhan dengan dia, hati saya terlalu rindu padanya. Ketika ini saya masih mengharapkan sinar kebahagiaan kembali pada kami berdua.

Saya terlalu menyintai dia dan tidak sanggup kehilangan dia. Andai dia terbaca luahan ini, percayalah yang saya cuma ada dia dalam hati.

SH

Jawapan


Sayu Dang Setia membaca surat saudara. Seharusnya dalam tempoh perkahwinan yang masih dikategorikan dalam zon berbulan madu, saudara dan isteri bergembira menikmati detik manis berumahtangga, namun lain pula yang berlaku.

Begitupun, apa yang saudara alami sebenarnya bukan luar biasa. Memang kerap berlaku pasangan baru berkahwin mengalami masalah disebabkan gagal mencari keserasian dan tempoh mencari keserasian pula berbeza di antara satu pasangan dengan pasangan lain.

Ada yang mengambil masa singkat, ada yang berbulan-bulan dan ada juga yang bertahun-tahun masih timbul masalah kerana gagal menemui keserasian yang dicari. Sedangkan ketika bercinta atau bertunang, masing-masing berasa serasi dan saling memahami.

Perkara itu berlaku kerana hidup berumahtangga berbeza dengan zaman bercinta. Biasanya, selepas berkahwin, baru muncul perkara negatif masing-masing. Dang Setia percaya, itulah peringkat yang saudara alami sekarang.

Saudara dan isteri sebenarnya masih dalam proses menyesuaikan diri. Oleh itu, jangan cepat kecewa atau putus asa dengan perkahwinan. Dang Setia yakin masih ada ruang untuk mengatasi masalah saudara dan cara berkesan dengan mencari punca masalah.

Saudara mengatakan masalah timbul selepas isteri berubah sikap dan perubahan sikapnya pula berpunca daripada tindakan saudara berhenti kerja, kira-kira sebulan sebelum perkahwinan berlangsung.

Justeru saudara tahu, untuk menyelesaikan masalah, saudara perlu mencari pekerjaan lain dan itu yang saudara lakukan sekarang, malangnya isteri yang sepatutnya menyokong mengambil sikap sebaliknya.

Secara kasar, nampak seperti punca masalah ini adalah isteri saudara, namun terdetik juga di fikiran Dang Setia, mengapa semudah itu isteri bersikap menentang dan tidak memihak kepada saudara?

Sebenarnya, apa yang ingin Dang Setia setia tekankan ialah, sebelum kita menuding jari dan meletakkan kesalahan ke atas orang lain, sewajarnya kita terlebih dulu menilai diri sendiri. Ini kerana, mungkin kelemahan pada diri kita menyebabkan orang lain bersikap tidak selari dengan kita.

Jangan salah faham, Dang Setia tidak menyalahkan saudara dalam hal ini, sebaliknya cuma mahu saudara melihat semula ke dalam diri sendiri untuk mencari kelemahan yang mungkin menjadi punca masalah. Maklumlah, memang lumrah manusia salah orang kita senang nampak, tapi salah sendiri kita sering terlepas pandang.

Pada masa sama, Dang Setia berharap saudara lebih banyak bersabar dalam menangani kerenah isteri. Jangan terlalu ikut darah muda dan ringan tangan untuk memukul isteri. Biarpun niat saudara untuk mengajarnya, tapi memukul adalah perbuatan yang terlalu sensitif bagi seorang isteri.

Memang Islam membenarkan suami memukul isteri untuk tujuan mengajar, namun ia ada kaedah dan peraturannya.

Pertama, isteri perlu diberi peringatan terlebih dulu, kedua suami memprotes dengan beralih tempat tidur dan selepas itu baru isteri boleh dipukul. Itupun dengan perlahan dan tidak mencederakannya.

Mungkin, tindakan saudara ingin memukulnya membuatkan isteri kini berkecil hati dan bersikap dingin terhadap saudara. Memandangkan saudara dan isteri kini tinggal berasingan, pergilah berjumpa dan pujuk isteri dengan lemah lembut. Tidak hilang ego seorang lelaki atau suami jika berlembut dengan isteri.

Komunikasi atau perbincangan dua hala sangat penting dalam kehidupan berumah tangga. Perbincangan juga harus berlangsung dalam suasana harmoni dengan matlamat mencari jalan penyelesaian dan bukan dalam suasana marah, untuk mencari siapa betul atau siapa salah.

Saudara juga harus memanfaatkan sesi kaunseling dengan jabatan agama yang bakal saudara dan isteri lalui. Sebagai suami, saudara ada kelebihan untuk menetapkan hala tuju masa depan rumah tangga. Jangan salahguna kelebihan itu untuk dengan mudah melafazkan talak kepada isteri.

Jikapun isteri gagal mengawal perasaannya kerana mungkin masih kurang matang, saudara sebagai suami atau ketua keluarga perlu lebih bijak mengawal keadaan dan berpandangan jauh untuk menyelamatkan rumah tangga.



Sumber: http://www.hmetro.com.my

Thursday, January 15, 2009

Wanita-wanita Yang Haram Dikahwini

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:



i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.



2. Sebab-sebab haram dikahwini:



i. Haram dengan sebab keturunan.
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan. ( Musyaharah )



3. Haram dengan sebab keturunan:



i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas.
v. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas.
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah.
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. - Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:



"Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu ".
( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )



4. Haram dengan sebab susuan :



i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :



"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.



5. Syarat-syarat haram dengan sebab susuan :



i. Ibu yang telah menyusukan itu telah baligh.
ii. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:



"Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun". ( Riwayat DaruQutni )



iii. Bilangan menyusu sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:



" Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quraan ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja". ( Riwayat Muslim )



iv. Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-limanya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:



"Tidak diharamkan berkahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun".

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.



6. Haram yang disebabkan persemendaan ( Musyaharah ) :



i. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.
ii. Ibu tiri atau nenek tiri hingga ke atas.
iii. Menantu perempuan ( isteri anak ) atau isteri cucu hingga ke atas.
iv. Anak tiri dengan syarat sudah mensetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan maka tidak haram mengahwini anak tirinya itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:



" Dan diharamkan ibu isteri kamu dan anak tiri yang di dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi , maka jika ibunya belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengahwini anak tiri itu dan begitu juga haram mengahwini isteri anak kamu yang sejati ". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 23 )

Dan firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

" Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu ( ibu tiri ) ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )



7. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab menghimpunkannya :



i. Saudara perempuan sebelah isteri. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


" Dan haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu ". (Surah An- Nisaa' - Ayat 23)



ii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iv. Anak saudara isteri dari saudara lelaki.
v. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.



Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapadan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelaki dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar ". ( Riwayat At -Tirmidzi )



Rujukan : Kitab Mathla'al Badrain - Muhammad bin Ismail Daud bin Al-Fathani.



Sumber: http://www.al-azim.com

Khiar Dalam Perkahwinan

1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.



2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.



3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:



a) Gila.


b) Jazam. ( penyakit kusta )


c) Barash. ( penyakit sopak )


d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.


e) 'Unnah ( mati pucuk )



4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:



a) Gila.


b) Jazam. (penyakit kusta)


c) Barash (penyakit sopak)


d) Rutaqa' (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)


e) Qurana' (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)



5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.



6. 'Unnah ( mati pucuk ) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat.Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.



Sumber: http://www.al-azim.com

Kufu Dalam Pernikahan

1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.



2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.



3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud :

"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ".



4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".



5. Kufu berpunca daripada lima sebab :

  • Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
  • Merdeka bukan hamba .
  • Keturunan.
  • Pekerjaan.
  • 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )
Sumber: http://www.al-azim.com

Pinjam Along Untuk Kahwin

Akibat terpedaya janji manis teman wanitanya, seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi kini dihantui ketakutan kerana diganggu along sejak empat tahun lalu.

Mangsa, Iskandar Ibrahim, 34, mendakwa tindakannya membuat pinjaman RM5,000 bagi menampung perbelanjaan perkahwinan selepas teman wanitanya itu berjanji untuk berkahwin dengannya kini menjadi igauan ngeri kerana tersepit masalah hutang.

Walaupun hubungan mereka berdua ditentang keluarga ketika itu, Iskandar berkata, dia nekad dengan keputusannya untuk mengahwini wanita terbabit atas dasar suka sama suka.

Bagaimanapun, dia mendakwa wanita terbabit menghilangkan diri selepas memperoleh wang pinjaman yang dibuat atas namanya itu.

Lebih memeritkan wanita itu bukan saja memutuskan hubungan, tetapi mengahwini orang lain.

“Disebabkan terlalu sedih dan tertekan dengan kejadian itu, saya berhenti membayar balik pinjaman along hingga kini.

“Pada masa itu saya dalam keadaan sedih dan tertekan, sebab itu tidak menjelaskan bayaran balik pada setiap bulan seperti dijanjikan.

“Kini jumlah pinjaman meningkat lebih RM10,000 berdasarkan bunga ditetapkan mereka setiap bulan jika terlupa untuk membayarnya,” katanya, semalam.

Berikutan masalah itu, Iskandar berkata, dia terpaksa berpindah kerja dari satu syarikat ke syarikat lain kerana tidak tahan diganggu along yang sentiasa mengekorinya.

“Mereka akan mengganggu hingga ke tempat kerja, malah pada masa sama mencemarkan nama baik saya pada majikan. Sebab itu saya tidak lama bekerja di satu-satu tempat.

“Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh mengesan saya kerana walaupun sudah membuat berbagai cara untuk menghilangkan diri, tapi along terbabit masih dapat mencarinya,” katanya

Iskandar berkata, gaji yang diperolehnya kini hampir sebahagian darinya digunakan untuk membayar balik pinjaman itu.

“Dari gaji penuh RM2,500 sebulan saya hanya memperoleh RM600 saja. Dengan keadaan ekonomi kini saya tidak cukup untuk meneruskan hidup.

“Saya mula bayar balik sejak Jun tahun lalu, tapi mereka makin melampau kerana tidak memberikan apa-apa penyataan menandakan saya sudah bayar,” katanya runsing.

Menurutnya, dia sudah buntu dan kini berharap ada pihak sudi membantu mengatasi masalahnya itu.

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan



Sumber: http://serikasih.blogspot.com

Wednesday, January 14, 2009

Pernikahan

1. Takrif Nikah :



i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.



2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :



" Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku ". ( Riwayat Ibnu Majah )



3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :

  • Dalil dari Al-Quran yang bermaksud :

    "Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 )
  • Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:

    "Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )
  • Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.

4. Hukum berkahwin itu ada empat :



1. Wajib - Orang yang cukup belanja dan tidak dapat menahan nafsunya.
2. Sunat - Orang yang cukup belanja dan ingin berkahwin.
3. Makruh - Orang yang cukup belanja tetapi tiada keinginan berkahwin.
4. Haram - Orang yang yakin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab.



5. Rukun-rukun nikah :



1. Lelaki yang bakal menjadi suami.
2. Perempuan yang bakal menjadi isteri.
3. Wali yang adil
4. Dua orang saksi yang adil
5. Ijab dan Qabul (Tawaran dan Penerimaan)



6. Syarat-syarat lelaki bakal suami :



1. Beragama Islam
2. Tidak berihram haji atau umrah
3. Lelaki tertentu
4. Belum mempunyai empat isteri
5. Dengan kerelaan diri sendiri bukan paksaan
6. Seorang lelaki (bukan khunsa musykil)



7. Syarat-syarat perempuan bakal isteri :



1. Beragama Islam.
2. Perempuan yang tertentu.
3. Bukan Mahram kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya
4. Bukan isteri orang dan tidak di dalam eddah orang lain.
5. Tidak berihram haji atau umrah.



8. Syarat-syarat wali :



1. Beragama Islam.
2. Seorang lelaki.
3. Baligh.
4. Dengan kerelaan sendiri bukan paksaan.
5. Tidak berihram haji atau umrah.
6. Orang yang adil ( tidak fasiq ).
7. Seorang yang sempurna akalnya.



9. Syarat-syarat saksi :



1. Bilangannya tidak kurang daripada dua orang.
2. Beragama Islam.
3. Berakal
4. Baligh
5. Lelaki.
6. Sejahtera pancaindera (boleh melihat, mendengar, bertutur).

7. Memahami isi-isi kandungan lafaz ijab dan qabul.
8. Orang yang adil (tidak fasiq)



10. Sighah Ijab:



1. Sighah ijab hendaklah digunakan lafaz nikah atau dengan terjemahan daripada dua lafaz itu dalam apa jua bahasa.


2. Lafaz ijab boleh dibuat oleh wali itu sendiri atau wakilnya.


Contohnya : "Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku Fatimah bte Abdullah / berwakilkan wali bapanya kepadaku dengan maskahwinnya RM 40.00 tunai ".

Sighah Qabul : Iaitu upacara penerimaan daripada lelaki sendiri ataupun wakilnya setelah selesai sighah ijab dengan tidak diselangi oleh apa-apa perkataan asing atau masa yang panjang.

Contohnya : "Aku terima nikah Fatimah bte Abdullah dengan maskahwinnya RM 40.00 tunai ".



11. Tanggungjawab suami kepada isteri :



1. Pemberian maskahwin.
2. Pemberian nafkah.
3. Berkelakuan baik.
4. Memberi bimbingan.
5. Menjaga kehormatan isteri.
6. Memberi layanan zahir dan batin.
7. Melakukan keadilan sekiranya berpoligami.



12. Tanggungjawab isteri kepada suami :



1. Wajib taat kepada suaminya.
2. Wajib tinggal di rumah yang dietapkan oleh suaminya.
3. Wajib menjaga kehormatan dirinya.
4. Wajib menjaga rumahtangganya.
5. Tidak menolak panggilan suami jika dipanggil ke tempat tidur.



13. Tanggungjawab bersama suami dan isteri :



1. Halal pergaulan sebagai suami-isteri.
2. Suci benih keturunan.
3. Wujud hak pusaka-mempusakai di antara keduanya.
4. Sah taraf anak (keturunan) kepada suami.
5. Kewajipan keduanya berlaku dalam pergaulan.
6. Bermesyuarat dan berbincang di dalam hal ehwal rumahtangga.
7. Berlaku adil di dalam segala bentuk kehidupan.



Sumber Rujukan :
1. Fiqh Imam As-Syafie - Hj. Idris bin Ahmad .
2. Ringkasan Munakahat - Ibnu Rahmat .



Sumber: http://www.al-azim.com

Perawan Bukan Ukuran

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my



APA perasaan anda jika isteri yang baru dikahwini bukan seorang gadis suci? Bagi suami yang memandang tinggi aspek itu barangkali perasaannya bercampur baur, marah dan berduka cita.

Berdepan dengan era kemodenan hari ini, ketika nilai agama makin terhakis dan norma masyarakat dipinggirkan terutama bagi sesetengah anak muda, tiada jaminan seseorang itu bakal mempunyai isteri yang suci atau dara.

Ditambah corak pergaulan bebas, tidak menolak perasaan ragu di kalangan suami terhadap status bakal isteri. Tetapi, jika masyarakat mengamalkan ajaran agama, persoalan itu tidak timbul.

Kini, muncul segolongan anak muda yang bangga kerana tiada dara sebelum perkahwinan yang sah pada usia belasan tahun, kerana beranggapan ia suatu gaya golongan yang maju dan bertamadun.

Sudah tentu persepsi sebegini disebabkan pengaruh dari luar terutama melalui aksi liar filem Barat, internet dan gaya hidup bebas yang merubah persepsi sesebuah masyarakat terhadap mahkota wanita itu.



Di Barat keadaan kian parah apabila sesetengah wanita sanggup ‘menawarkan’ kesucian itu semata-mata kerana kepentingan wang. Memalukan sekiranya wanita Timur mengikut jejak mereka.

Media melaporkan pada 2008, seorang model Itali, Raffella Fico, ketika itu berusia 20 tahun, menawarkan daranya dengan sejuta Euro (RM4.9 juta).

Dia memberitahu majalah Itali: “Saya tidak sabar untuk melihat siapa yang sanggup membelanjakan wang untuk memiliki saya.”

Fico yang muncul dalam rancangan Big Brother versi Itali awal tahun lalu, berkata dia akan menggunakan wang itu untuk membeli rumah di Rom dan membayar yuran kelas lakonan.

“Saya tidak tahu apa rasanya melakukan seks,” katanya kepada majalah Chi.

Pada tahun yang sama juga, seorang rakyat Amerika yang menggunakan nama pena Natalie Dylan mengumumkan yang dia akan menerima bida bagi daranya melalui laman sesawang.

Satu tinjauan pendidikan seks remaja Britain berusia antara 14 dan 17 tahun pada 2008 (dilakukan oleh YouGov bagi Channel 4) menunjukkan hanya enam peratus remaja terbabit bercadang menunggu sehingga berkahwin sebelum mengadakan hubungan seksual.

Sementara itu, satu kajian oleh Clark dan Hatfield di sebuah kampus Amerika Syarikat yang disiarkan pada 1989 dan 1990, menggunakan penyelidik wanita dan lelaki terhadap mereka yang tidak dikenali mengutarakan beberapa soalan: Mahukah anda keluar bersama saya, ke pangsapuri saya, mengadakan hubungan seksual dengan saya?

Pelajar perempuan menjawab ‘ya’ kepada penyelidik lelaki 50 dan enam peratus, manakala tiada yang menjawab ‘ya’ bagi hubungan seksual. Pelajar lelaki pula menjawab ‘ya’ kepada penyelidik wanita 50, 69 dan 75 peratus.

Walaupun sesetengah mereka melahirkan kepuasan melakukan hubungan seksual sebelum perkahwinan tetapi ramai yang berkecamuk dengan penyesalan, rendah diri dan berasa bersalah.

Dr Danial Zainal Abidin dalam buku Perubatan Islam, menyatakan kepuasan seksual mempunyai maksud yang luas dan tidak hanya terhad kepada kepuasan berbentuk fizikal semata-mata.

Menurut pakar psikologi dan pengarang buku Women Who Love Sex, Dr Gina Ogden, kepuasan seks terutamanmya bagi kaum wanita berhubung rapat dengan keintiman hati, kepercayaan, kemesraan, keterbukaan dan memori ibadah.

Seks ialah hubungan spritual dan fizikal yang terjalin di antara sepasang suami isteri yang berkahwin secara halal, dinaungi landasan syariat yang suci, demi mencari keredaan Ilahi.

Gadis atau dara merujuk kepada wanita muda yang mempunyai karekter tiada pengalaman hubungan seksual. Begitupun terma dara sering juga dinisbahkan pada subjek lain.

Menurut Kamus Dewan, dara bermaksud tidak pernah (masih belum) melakukan persetubuhan dengan lelaki, gadis, perawan. Gadis yang sudah baligh tetapi belum berkahwin. Dengan kata lain ia membabitkan kesucian seorang gadis.

Dara ialah membran, bahagian vulva wanita yang cenderung menghentikan kemasukan ke vagina dan meregang atau kadangkala ia terkoyak apabila seseorang mengadakan hubungan seksual.

Ia sesuatu yang sangat bernilai, iaitu simbol maruah seorang wanita tetapi tiada jaminan terhadapnya apabila berlaku hubungan jenis.

Kerosakan dara mungkin menyatakan vagina sudah ditembusi tetapi ia juga boleh rosak disebabkan aktiviti fizikal atau penggunaan benda tertentu.

Sesetengah ahli sejarah dan antropologi menyatakan kebanyakan masyarakat meletakkan nilai tinggi terhadap dara sebelum perkahwinan, termasuk Amerika Syarikat sebelum revolusi seksual.

Begitupun, tidak bermakna tiada aktiviti seksual sebelum perkahwinan, bahkan banyak kes yang berkaitannya seperti seks oral, seks dari jalan belakang dan masturbasi.

Justeru, bagi golongan yang mengutamakan dara, walaupun hilang, mereka akan berusaha memulihkannya melalui beberapa cara seperti pembedahan. Prosedur ini biasanya berlaku di Timur Tengah, di mana dara dianggap mahkota.

Islam mempersiapkan perintah aktiviti seksual hanya boleh berlaku antara individu yang berkahwin secara sah saja. Suami dan isteri mesti sentiasa menyimpan keinginan dari segi emosional dan seksual terhadap pasangan.

Perintah ini secara tidak langsung melarang orang Islam daripada melakukan hubungan seksual sebelum perkahwinan, sekali gus dapat memelihara kesucian gadis dan maruahnya.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (al-Isra:32)

Gara-gara dara juga di Perancis, baru-baru ini, perbahasan hangat tercetus mengenai undang-undang perkahwinan selepas mahkamah memansuhkan perkahwinan satu pasangan Muslim atas alasan suami yang isterinya bukan dara seperti didakwa sebelum berkahwin.

Bagi kes itu, sesetengah pihak menyifatkan keputusan hakim sebagai bertentangan dengan staus sama taraf antara lelaki dan wanita serta melanggar hak wanita.

Tetapi menurut peguam suami berkenaan, mahkamah memansuhkannya kerana si isteri berbohong yang ditetapkan sebagai ‘kewajipan pihak yang menandatangani kontrak’ mengikut undang-undang tempatan.

Bagi sesetengah negara, sehingga lewat kurun ke 20, keadaan sebaliknya. Jika seseorang lelaki tidak mengahwini wanita diambilnya yang masih dara, wanita terbabit diizinkan untuk mengemukakan saman terhadap lelaki terbabit dan menebus wang. Sumber: http://www.hmetro.com.my

Saringan HIV Untuk Kebahagiaan Pasangan

Oleh Madzlina Nordin
madzlina77@yahoo.com

ALAM perkahwinan adalah episod kehidupan unik dan membahagiakan pasangan suami isteri. Keindahan dan kebahagiaan hidup berpasangan yang diikat dengan tali perkahwinan bukan suatu kebetulan, tetapi memerlukan perancangan dan persediaan berterusan sejak awal lagi.

Dalam hal ini, agama menganjurkan setiap individu memilih pasangan terbaik dan ideal untuk menjadi teman sehidup dan semati agar tidak menyesal di kemudian hari.

Memilih teman hidup bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana impian hidup berumah tangga untuk berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Perkahwinan sebenarnya adalah tuntutan agama dan perbuatan terpuji, justeru pasangan yang ingin dijadikan teman hidup mesti paling unggul baik dari segi lahiriah, rohaniah dan jasmaniah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sesungguhnya generasi paling baik yang kamu pilih untuk bekerja ialah generasi kuat lagi dapat dipercayai.” (Surah al-Qashash: 26)

Bagi menyediakan garis panduan, persediaan, tunjuk ajar dan didikan dalam alam perkahwinan, kerajaan mewajibkan setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mengikuti kursus intensif praperkahwinan sebagai persiapan awal sebelum mereka dibenarkan bernikah.


Ini bagi memastikan kedua-dua bakal suami dan isteri bersedia melangkah ke alam rumah tangga dengan bekalan ilmu perkahwinan, memahami hak dan tanggungjawab suami isteri, mengaplikasikan petua kebahagiaan rumah tangga, melaksanakan segala tuntutan dan menurut batasan agama yang perlu dipatuhi dan sebagainya.

Untuk memastikan setiap pasangan selamat, sihat serta bebas penyakit berisiko tinggi, mulai tahun ini semua bakal pengantin beragama Islam diwajibkan menjalani ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV).

Peraturan ini dikuatkuasakan dengan saringan itu sebahagian daripada syarat utama kursus praperkahwinan.

Langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jangkitan HIV, terutama kepada wanita yang kini menunjukkan peningkatan mendadak dari semasa ke semasa sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007 dan sepanjang enam bulan pertama 2008, ia berada pada 18.57 peratus.

Keadaan ini sangat menakutkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Inisiatif ujian ini bukan menyekat hak, kepentingan dan kehendak setiap pasangan berkahwin.

Ia juga bukan satu bentuk diskriminasi atau penganiayaan kepada pasangan ingin berumah tangga.

Peraturan baru ini membuktikan komitmen semua pihak untuk berusaha mencegah virus berbahaya ini daripada merebak kepada insan tidak berdosa.

Kajian mendapati hanya 19 peratus rakyat Malaysia menjalani ujian dengan aktif, manakala 14 peratus lagi hanya berbuat demikian selepas mengetahui pasangan mereka positif HIV.

Secara positifnya, melalui ujian saringan ini akan memudahkan setiap pasangan mengetahui tahap kesihatan dan status HIV pasangan masing-masing lebih awal lagi.

Biarpun begitu, selepas keputusan ujian dikeluarkan, terpulang kepada pasangan sama ada ingin meneruskan perkahwinan atau sebaliknya, melihat kepada implikasi dan kesannya pada masa akan datang.

Seseorang dijangkiti HIV hanya akan menghidap Aids apabila sistem imuniti badan (sel darah putih) teruk dirosakkan virus berkenaan sehingga tidak dapat menentang jangkitan kuman biasa mahupun ketumbuhan (tumor).

Oleh itu, ujian ini amat penting kepada masa hadapan bakal pengantin dan keputusan yang diperoleh kelak tidak boleh dirahsiakan jika seseorang menjadi penghidap virus berbahaya itu.

Ia tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak kerana amat mustahak bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk jangkitan HIV kepada pasangan dan anak yang bakal dilahirkan.

Kita juga bimbang generasi modal insan yang akan lahir di kalangan mereka yang lemah dan mundur jika dijangkiti HIV positif dan langkah pencegahan tidak dilaksanakan segera.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati di peringkat global, 0.63 juta kanak-kanak baru dikesan mendapat HIV, manakala 2.1 juta kanak-kanak hidup dengan HIV dan 15 juta pula anak yatim.

Pepatah Arab ada mengatakan ‘Alwiqayah khairum minal ilaj’, atau ‘mencegah lebih baik daripada mengubat’ manakala pepatah Melayu menasihatkan ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Kata-kata hikmah itu sangat tepat dalam mencegah HIV daripada terus merebak dan menjangkiti orang lain melalui perkahwinan.

Dari segi kumulatif, bilangan jangkitan HIV setakat ini ialah 83,527 orang.

Sebelum ini, hanya Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor dan Kelantan mewajibkan bakal pengantin perlu menjalani saringan ujian HIV.

Kini, semua pasangan yang hendak berkahwin perlu melalui ujian yang sangat penting ini sebelum mereka boleh bergelar suami isteri. Sumber: http://www.hmetro.com.my

Dilema Kahwin Tanpa Izin Keluarga

SOALAN

SAYA berusia 24 tahun, berkahwin dengan lelaki berbangsa asing di luar negara tanpa izin keluarga dan kini mempunyai seorang anak berusia enam bulan.

Masalahnya ialah keluarga saya enggan menerima suami saya malah memberikan amaran yang saya tidak lagi dibenarkan menemui mereka (keluarga) sekiranya saya memilih untuk menetap bersama suami.

Jadi, sekarang suami terpaksa menetap sendirian kerana saya tidak dibenarkan menemuinya lagi. Jika saya memilih untuk menetap dengan suami, apakah saya dikira derhaka kepada ibu bapa?

Sudah puas saya cuba meyakinkan ibu bapa yang suami saya bukanlah jahat seperti mereka sangka tetapi mereka tetap membencinya sepenuh hati sehingga bayi saya juga tidak dibenarkan menemui bapa kandung sendiri.


Saya hiba mengenangkan nasib anak saya itu. Saya amat memerlukan nasihat Dr dalam menyelesaikan perkara ini dan memberi pedoman dengan siapakah saya lebih wajar tinggal bersama, keluarga atau suami?

AZRYNA,
Pulau Pinang.

JAWAPAN

MASALAH yang berlaku berpunca daripada perkahwinan tanpa izin keluarga. Ini kerana keluarga anda sangat mengambil berat ahli keluarga.

Cara penyelesaian yang utama ialah dengan terlebih dulu mendaftarkan perkahwinan berkenaan di Mahkamah Syariah di Malaysia dengan mengemukakan borang permohonan yang tertentu.

Mahkamah akan mengesahkan perkahwinan berkenaan apabila cukup bukti. Ini penting bagi menentukan status anda sebagai suami isteri di sudut undang-undang negara.

Kedua, keluarga suami dan suami perlu mengunjungi keluarga anda bagi meminta maaf dan menyambung tali perhubungan keluarga.

Ketiga, anda perlu sendiri meminta maaf atas keterlanjuran kepada keluarga seikhlas mungkin. Pilihlah masa yang sesuai dalam menyakinkan keluarga anda.

Keempat, berdoa dan dirikanlah solat Hajat agar Allah membuka hati keluarga dan suami untuk berbaik-baik, demi kesejahteraan bersama.
Sumber: http://www.hmetro.com.my

Hari Nikah Dah Dekat, Duit Tak Cukup

SOALAN

SAYA berusia 24 tahun dan bertunang dengan jejaka pilihan berusia 31 tahun. Orang kata dugaan dalam bertunang memang banyak, tapi dugaan paling mencabar bila duit simpanan tunang saya terpaksa digunakan untuk menyelamatkan keluarga dia.

Keluarga tunang saya mempunyai masalah kewangan dan rumah yang mereka duduki bakal ditarik. Disebabkan tunang saya ada wang simpanan untuk belanja kahwin dan adik beradiknya tidak semewah mana, tunang saya terpaksa korbankan semua duit belanja kahwin bagi menyelamatkan rumah keluarganya.

Tempoh pertunangan sudah hampir setahun. Tunang saya kini tiada simpanan langsung untuk perkahwinan kami. Kami cuba menangguh perkahwinan kami bagi memberi ruang kepada tunang saya mencari duit kembali.

Saya seboleh-bolehnya tidak mahu berita ini sampai ke pengetahuan keluarga saya kerana sebenarnya tunang saya bukan pilihan keluarga. Tunang saya cuma lulusan SPM dan berasal daripada keluarga yang agak kekampungan.



Jika keluarga saya tahu perkara ini, pasti masalah besar akan berlaku. Biarpun tunang saya hanya lulusan SPM, saya menyintainya. Dia bercita-cita tinggi dan selalu melindungi saya. Sifat matangnya dan sering menasihati saya supaya jangan tinggalkan solat adalah ciri yang saya inginkan.

Bukan pangkat atau darjat yang menjadi pilihan saya. Tunang saya sentiasa bersabar dengan sikap saya yang degil dan suka melawan.

Walaupun saya sering bertelagah dengan keluarga yang suka mencari kelemahannya, tunang saya tidak pernah menyuruh saya membenci keluarga saya.

Sekarang, ayah sudah menetapkan tarikh perkahwinan selepas Aidilfitri kelak, sedangkan wang tunang saya masih tidak cukup.

Kesian saya lihat tunang saya yang bertungkus lumus mencari duit. Mujur hantaran dan barang kemas sudah kami beli, tetapi mana kami hendak cari dalam RM10,000 dalam masa singkat?

Tunang saya pernah cuba buat pinjaman bank tetapi gagal kerana tidak cukup syarat. Saya yang ingin membantunya pun gagal kerana gaji saya tak cukup. Lagipun saya bimbang jika keluarga saya tahu.

Kami sudah puas berusaha, tapi benarlah kata orang, ketika susah ramai yang akan larikan diri. Diharap Dang Setia dapat menyelesaikan masalah kami.

TUNANG BUNTU

JAWAPAN

Berdepan masalah membabitkan ibu bapa memang sesuatu yang merumitkan. Namun, dalam apa jua keadaan pendirian Dang Setia tetap sama, sebagai anak kita perlu beralah dan berusaha semaksimum mungkin untuk mengelak hati ibu bapa terluka.

Dalam kes saudari, Dang Setia berpendapat tidak banyak pilihan yang saudari ada melainkan berterus terang dengan ibu bapa.

Biarpun sedar tindakan itu memberi kesan buruk kepada saudari dan tunang, Dang Setia melihat ia juga mampu menghadirkan peluang untuk masalah saudari diselesaikan dengan cara baik.

Satu hakikat penting, dalam urusan perkahwinan, peranan ibu bapa tidak boleh diketepikan. Sama ada suka atau tidak, senang atau susah, seorang anak yang hendak berkahwin perlu mendapat kerjasama ibu bapanya dalam semua hal.

Maksudnya, apa saja masalah berbangkit ibu bapa perlu tahu mengenainya kerana tindakan menyembunyikan masalah akan menghadirkan masalah lebih besar.

Namun nak tak nak, saudari perlu terima segala kemungkinan dengan sabar. Ini kerana, jika saudari diamkan, pastinya mereka beranggapan segala-galanya ok dan majlis perkahwinan yang dijadual selepas Aidilfitri kelak tetap akan mereka langsungkan.

Jadi, jika pada saat akhir baru saudari dan tunang ingin berterus terang, tentu keadaan ketika itu akan lebih rumit. Ibu bapa saudari mungkin akan lebih marah kerana saudari tidak berterus terang lebih awal.

Saudari, sedarlah tiada ibu bapa yang mahu anak mereka tidak bahagia. Jadi, Dang Setia percaya ibu bapa saudari ‘tidak berminat’ menjadikan tunang saudari yang berkelulusan SPM sebagai menantu, bukan kerana sengaja ingin menyusahkan saudari tapi dengan niat melihat masa depan anaknya lebih terjamin.

Namun, sama ada saudari sedar atau tidak, di sebalik keinginan mereka, ibu bapa saudari akhirnya mengalah dan menurut permintaan saudari apabila bersetuju dengan lelaki pilihan saudari.

Berdasarkan situasi itulah Dang Setia percaya masih ada ruang dan peluang untuk masalah saudari diselesaikan secara baik.

Selepas saudari berterus terang mengenai masalah yang dihadapi, ada kemungkinan ibu bapa saudari bersetuju menangguhkan perkahwinan atau menanggung kos perkahwinan.

Logiknya, mereka pasti tidak mahu anak mereka berkahwin dalam suasana kelam kabut hingga memalukan keluarga.

Akhir sekali,mengikut Islam, perkahwinan tidak memerlukan kos terlalu besar tapi yang lebih utama ialah memenuhi rukun serta syarat sahnya.



Justeru, keluarga jika keluarga saudari dan tunang memahami hakikat ini tidak perlu diadakan majlis perkahwinan yang besar. Rasanya perlu juga Dang setia tekankan mengenai kesilapan masyarakat kita yang terlalu mementingkan adat dan pandangan orang ramai dengan menganggap melangsungkan perkahwinan dengan kenduri besar-besaran adalah satu keperluan.

Justeru, keluarga jika keluarga saudari dan tunang memahami hakikat ini tidak perlu diadakan majlis perkahwinan yang besar. Sumber: http://www.hmetro.com.my

Remaja Kesal Hamil Luar Nikah

SAYA remaja berusia 16 tahun dan masih bersekolah. Saya mengalami masalah serius dan semuanya salah sendiri. Saya melakukan hubungan seks dengan teman lelaki dan mengandung lima bulan.

Saya sangat takut dengan keadaan ini dan pernah berfikir untuk membunuh diri tapi takut hukum Allah.

Apa yang perlu saya lakukan Dr? Adakah cara lain mengelak melahirkan zuriat ini? Saya tidak boleh melahirkan anak ini dan berkahwin dengan teman lelaki kerana usia dan ekonomi tidak mengizinkan. Harap Dr membantu.


Anis, Selangor.



SYUKUR, adik sudah insaf dengan perbuatan negatif yang dilakukan. Sesungguhnya ini ujian Allah kepada adik dan perlu tabah menghadapi serta belajar daripada kesilapan.


Adik juga perlu bertaubat dan tidak lagi mengulangi perbuatan yang terlarang itu. Firman Allah s.w.t yang ber maksud “....dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan,” (Surah an-Nur, ayat 31.

Kandungan adik berusia lima bulan. Tentunya adik tiada pilihan lain selain melahirkan anak itu. Adik tidak boleh menggugurkan kandungan itu kerana ia berdosa. Un dang-undang juga melarang perbuatan itu.

Membunuh diri juga bukan penyelesaian yang baik kerana banyak masalah lain yang timbul selain ia satu dosa. Adik jangan mudah putus asa kerana Islam melarang berputus asa seperti firman Allah yang bermaksud “Katakanlah: Hai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesung guhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Az-Zumar 39:53).

Jalan terbaik ialah meminta teman lelaki adik bertang gungjawab atas perbuatannya. Adik juga perlu berbincang dengan ibu bapa mengenai keadaan sebenar.

Selain itu, beberapa rumah perlindungan untuk wanita hamil di luar nikah disediakan. Bukanlah tujuan Dr meng galakkan remaja hamil di luar nikah tetapi ia sebagai satu alternatif mengelak membuang bayi yang tidak berdosa.

Jika adik tidak dapat bersekolah lagi kerana perbuatan ini, Dr nasihatkan adik untuk terus mendapatkan ilmu. Adik boleh belajar di sekolah swasta atau persendirian. Ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa depan. Jangan halang diri untuk mendapatkan ilmu kerana masalah adik ini.

Walaupun adik melakukan kesilapan besar dan terpaksa menanggung bebanannya, jalan kembali masih ada. Bina kekuatan daripada kesilapan ini. Walaupun sukar tetapi Insya-Allah jika niat baik dan insaf, adik akan menemui sinar cahaya.
Sumber: http://www.hmetro.com.my

An-Nur: Tertib Cerai Isteri

Perceraian jalan terakhir yang disediakan Islam bagi pasangan suami isteri yang bermasalah sama ada ketidakserasian atau masalah lain berkait dengan kezaliman, tidak tunai tanggung jawab.

Beberapa pendapat ulama menyatakan talak amat dibenci sehingga sampai tahap dilarang dan hanya diharuskan apabila cukup syarat atas nama ‘keringanan’ atau ‘rukhsah’.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak (perceraian suami isteri)" (Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih)

Namun, pendapat ini tidak kuat kerana Nabi sendiri pernah menjatuhkan talak ke atas Hafsah Binti Umar Al-Khattab dan kemudian rujuk kembali. Kesimpulannya ia hanya makruh. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Nailul Awtar, 6/247)

Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah: “Saya tidak suka kepada laki-laki yang suka kahwin cerai dan perempuan yang suka kahwin cerai.” (Riwayat Thabarani dan Daraquthni)

Namun demikian, talak yang hendak dijatuhkan mestilah mengikut tatacara dan disiplin yang ditentukan Islam seperti berikut:

1. Jangan dicerai ketika isteri haid dan nifas.

Haram dan berdosa hukumnya suami menjatuhkan talak jika isterinya dalam keadaan haid, nifas dan selepas disetubuhi waktu suci isteri kecuali sudah jelas wanita itu mengandung.

Bagi suami yang ingin menceraikan isterinya, pastikan bukan dalam tiga situasi itu. Ini tanda fitrahnya (bertepatan naluri manusia normal) kerana dalam keadaan haid, termasuk juga nifas, seorang suami wajib menjauhi isterinya.

Barangkali kerana terhalangnya dan ketidakmampuan mengawal nafsunya itu yang mendorongnya menjatuhkan talak.

Ia juga mungkin terdorong oleh perilaku isteri sewaktu haid. Diketahui umum, mental dan naluri isteri tidak stabil pada waktu haid dan nifas.

Syeikh Al-Qaradawi berkata : “Sebagaimana diharamkannya mencerai isteri di waktu haid, begitu juga diharamkan menceraikannya sewaktu suci sesudah bersetubuh. Sebabnya, siapa tahu barangkali si perempuan itu memperoleh benih daripada suaminya pada kali itu.

“Dan barangkali juga kalau si suami selepas mengetahui isterinya hamil kemudian dia akan mengubah niatnya, dan dia dapat hidup senang bersama isteri kerana ada janin yang dikandungnya.” (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

Dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dikisahkan, Abdullah bin Umar Ibnul-Khattab pernah mencerai isterinya waktu haid. Kejadian ini sewaktu Rasulullah SAW masih hidup. Bertanyalah Umar kepada Rasulullah SAW, maka jawab Nabi:

Ertinya : “Suruhlah dia (Abdullah bin Umar) rujuk kembali, kemudian jika dia mahu, cerailah isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya.

Itulah yang disebut mencerai pada idah, sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam firmanNya: “Hai Nabi! Apabila kamu hendak mencerai isterimu, maka cerailah dia pada idahnya. Yakni menghadapi idah, iaitu di dalam keadaan suci.”

Dalam satu riwayat disebutkan: “Perintahlah dia (Abdullah bin Umar) supaya kembali, kemudian cerailah dia dalam keadaan suci atau mengandung.” (Riwayat Bukhari)

Jika dijatuhkan talak ketika haid, adakah sah?

Menurut pendapat majoriti mazhab Islam, talak itu tetap sah, tetapi si pelakunya berdosa. Ia berdalilkan satu hadis mengenai Abdullah Ibn Umar tadi. Apabila menceraikan isterinya dalam keadaan haid, Rasullullah mengarahkannya agar segera rujuk kembali.

Ini bererti talaknya jatuh cuma berdosa. (Al-Mughni, 7/99; Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, halaman 225)

Sementara kumpulan minoriti ulama berpendapat talak tidak jatuh dan tidak sah, sebab talak itu sama sekali tidak menurut aturan syarak dan tidak dibenarkan. Oleh itu bagaimana mungkin dapat dikatakan berlaku dan sah? Namun, pendapat yang lebih kuat adalah sah dan jatuh talaknya.

2. Perempuan yang dicerai tetap tinggal di rumah suami selama dalam idah.

Perempuan yang dicerai wajib tetap tinggal di rumah suaminya selama dalam idah. Dia diharamkan keluar rumah, dan suami diharamkan mengeluarkan bekas isterinya itu dari rumah tanpa suatu alasan yang dapat dibenarkan.

Hal ini disebabkan suami, selama dalam idah, masih diperkenankan merujuk dan mengembalikan isteri kepada perlindungan perkahwinan untuk sekali lagi apabila talak ini baru satu atau dua kali.

Seorang isteri yang masih tinggal bersama di dalam rumah suami mampu membuka ruang untuk membangkitkan perasaan suami dan mengingat-ingat serta berfikir sebelum habis edah itu.

Sebelum berakhirnya bulan-bulan idah perempuan diperintahkan supaya menunggu supaya yakin akan bersihnya rahimnya dari benih suami serta melindungi hak suami dan kehormatan isteri.

Sebab hati selalu berubah, fikiran selalu baru, seorang yang sedang marah kadangkala menjadi rela, orang yang naik pitam kadangkala menjadi dingin dan orang yang benci kadangkala menjadi cinta.

Sehubungan dengan persoalan perempuan yang dicerai ini, Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan takutlah kamu kepada Allah, Tuhanmu. Jangan kamu usir mereka itu dari rumah mereka dan jangan sampai mereka itu keluar rumah, kecuali apabila mereka berbuat kejahatan yang terang-terangan; dan yang demikian itu batas-batas ketentuan Allah.

“Dan barang siapa melanggar batas-batas ketentuan Allah, maka sungguh dia sudah berbuat zalim pada dirinya sendiri; kamu tidak tahu barang kali Allah akan mengadakan hal baru sesudah itu.”(at-Thalaq: 1)

3. Talak mesti dijatuhkan mengikut aturan kiraan.

Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talak untuk tiga kali, dengan suatu syarat tiap kali talak dijatuhkan pada waktu suci, dan tidak disetubuhinya.

Kemudian ditinggalkannya isterinya itu sehingga habis edah. Kalau nampak ada keinginan merujuk sewaktu masih dalam edah, maka dia boleh merujuknya.

Sekiranya dia tetap tidak merujuknya sehingga habis edah, dia masih boleh untuk kembali kepada isterinya itu dengan akad dan mahar (maskawin) baru. Jika dia tidak lagi berhasrat untuk kembali, si wanita boleh berkahwin dengan orang lain.

Jika si suami kembali kepada isterinya sesudah talak satu, tetapi tiba-tiba terjadi suatu peristiwa yang menyebabkan jatuhnya talak yang kedua, si lelaki masih boleh rujuk semula dalam tempoh idah.

Dan, kalau suami kembali dan menceraikan isterinya buat kali ketiga, maka ini suatu bukti nyata, bahawa perceraian antara kedua-duanya harus dikukuhkan, sebab penyesuaian antara keduanya sudah tidak mungkin.

Oleh itu, dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si lelaki itu, sampai dia kahwin dengan orang lain secara syarie. Bukan sekadar menghalalkan si perempuan untuk suaminya yang pertama tadi. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam). Sumber: http://www.hmetro.com.my

Isteri Mahu Cerai

SAYA berkahwin dengan suami selama 17 tahun dan mengenalinya 23 tahun. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Alhamdulillah kami dikurniakan dua anak berumur 16 tahun dan tujuh tahun.

Saya berumur 39 tahun dan bekerja sepenuh masa. Suami pula berusia 42 tahun. Walaupun pada masa silam kami banyak melalui onak dan duri, kami masih bertahan hingga ke saat ini.

Masalahnya, sekarang saya mulai bosan dengan perbuatannya yang saya tidak suka. Memang saya akui tiada seorangpun yang dilahirkan sempurna di muka bumi ini. Saya yakin dia tahu saya tidak suka semua kelemahannya.

Bagi saya, kelemahannya terlalu banyak. Walaupun puas saya menasihatinya, dia masih tidak berubah. Baginya, “take it or leave it.” Di sini saya senaraikan perbuatan dan kelemahannya yang saya tidak suka:



> Merokok.
> Panas baran. Apabila marah, dia ringan tangan tetapi tidaklah sampai ke tahap melukakan saya.
> Selalu membuat sesuatu secara perlahan. Antaranya bersiap untuk keluar.
> Boros.
> Tidak membantu akan kerja rumah.
> Cerewet terhadap makanan yang saya masak.



Saya pernah membincangkan masalah ini dengan anak perempuan yang juga anak sulung saya. Saya beritahu hasrat saya untuk berpisah dengan bapanya. Oleh kerana dia juga tidak suka bapanya, dia menggalakkan saya meneruskan hasrat itu.

Suami saya seorang yang bertanggungjawab nafkah zahir dan batin, tetapi saya masih rasakan diri saya tidak bahagia. Masalahnya, jika saya berpisah dengan suami atas sebab di atas, adakah ia langkah bijak dan berbaloi?

Adakah masalah rumah tangga saya sebenarnya kategori remeh? Atau adakah saya harus terus bersabar dan berdoa semoga satu hari nanti suami saya akan berubah? Kami mengerjakan umrah bersama pada 2006.

LAILI

Kebiasaannya, apabila diajukan soalan mengenai suami yang bersikap negatif hingga hidup isterinya menderita, antara pilihan tindakan yang sering Dang Setia cadangkan pada isteri ialah memikirkan kemungkinan menamatkan saja perkahwinan.

Dang Setia mencadangkan begitu kerana berpegang kepada prinsip setiap manusia (tidak kira lelaki atau wanita) ada hak untuk menentukan kehidupannya sendiri. Kalau suami bermasalah, takkan sepanjang hayat isteri harus hidup menderita.

Oleh itu, lebih baik bercerai kerana ada banyak kemungkinan si isteri lebih bahagia apabila hidup bersendirian. Bagaimanapun dalam kes puan, Dang Setia berpendirian untuk memberi jawapan berbeza.

Ini kerana, bagi Dang Setia, sikap negatif suami tidak cukup kuat untuk membuatkan puan menuntut cerai. Bukan apa, mungkin kerana Dang Setia sering didedahkan dengan sikap suami yang lebih teruk.

Jika puan selalu mengikuti ruangan ini, Dang Setia yakin puan pasti bersetuju banyak sikap suami lain yang lebih teruk seperti tidak beri nafkah zahir dan batin, tidak pulang ke rumah, curang, menipu, suka pukul isteri dan banyak lagi.

Namun, Dang Setia tidak mahu meremehkan masalah yang membelenggu puan. Bak kata orang, kita mungkin menganggap ia remeh kerana kita tidak melaluinya. Jika kena batang hidung sendiri, baru kita tahu langit itu tinggi atau rendah.

Satu yang pasti, senarai masalah sikap suami menjadi teramat serius kerana ia menyebabkan puan berasa tidak bahagia dalam hidup puan kini. Hilangnya kebahagiaan sememangnya perkara serius kerana semestinya keseluruhan hidup kita terjejas.

Bagaimanapun, satu persoalan penting yang Dang Setia ingin puan fikirkan ialah jika hidup puan sekarang tidak bahagia, adakah puan yakin kebahagiaan yang puan inginkan itu hanya mampu ditemui selepas puan bercerai?

Atau dalam erti kata lain, adakah tiada lagi cara lain yang membolehkan puan menemui kebahagiaan dalam kehidupan berumah tangga dengan suami sekarang dan sememangnya perceraian jalan penyelesaian terbaik?

Puan, cuba renung dan fikirkan semasak-masaknya, adakah puan benar-benar bersedia untuk menempuh hidup sebagai ibu tunggal? Dang Setia bukan ingin menakut-nakutkan puan, tapi mahu puan berfikir lebih panjang sebelum bertindak.

Ini kerana ramai ibu tunggal atau kata pasarnya, janda selalu mengadu pada Dang Setia cabaran yang terpaksa dilalui mereka sangat getir.

Pandangan serong masyarakat dan tekanan untuk menyerap segala beban hidup secara bersendirian, sesungguhnya cabaran yang bukan mudah untuk diharungi.

Maksudnya, jika diberi pilihan, mereka semua tidak mahu hidup menjanda, namun disebabkan keadaan memaksa dan jalan penyelesaian lain tidak wujud, mereka terpaksa melalui jalan hidup yang penuh berliku itu.

Mungkin ada baiknya puan berjumpa rakan puan yang bergelar ibu tunggal untuk bertanyakan pengalaman dan pendapatnya. Dang Setia yakin apa yang bakal diceritakannya pasti menjadi input berguna buat puan.

Tanya juga pendapat ibu bapa dan individu lain yang lebih matang sebagai rujukan dan bukan sekadar bertanya anak puan yang usianya lebih muda serta sememangnya menyimpan persepsi negatif terhadap ayahnya.

Seperkara lagi berkaitan dengan ibu tunggal dan hidup sendirian, pernah ke puan terfikir mengenai kesunyian? Bagaimana pula soal keperluan seksual? Dalam surat puan, soal seksual puan langsung tidak disentuh, jadi Dang Setia yakin antara puan dan suami, tidak wujud masalah ini.

Jika benar begitu, mampukah puan menahan nafsu apabila hidup bersendirian? Jangan kata perkara ini tidak penting atau tidak relevan. Bagi Dang Setia, seks adalah naluri dan fitrah semula jadi manusia yang perlu diuruskan dengan cara betul.

Pada usia 39 tahun, Dang Setia yakin keperluan dan kehendak seksual puan masih wujud, malah mungkin masih tinggi.

Justeru, perkara ini juga perlu puan fikirkan kerana puan tidak sepatutnya menipu diri sendiri dengan berkata “tidak apa”, sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Selain itu, timbul persoalan di benak Dan Setia, mengapa baru sekarang sesetengah sikap suami menjadi masalah besar kepada puan dan tidak sebelum ini.

Sebagai contoh, merokok. Adakah dulu sebelum kahwin suami puan tidak merokok? Kebiasaannya, perokok tegar bermula sejak muda lagi.

Jadi, jika dulu puan boleh menerima dia merokok, kenapa sekarang tidak. Begitu juga dengan sikapnya yang cerewet dan panas baran. Dang Setia percaya, puan mengesan sikapnya sejak sebelum berkahwin lagi.

Persoalannya, kenapa dulu semuanya ok tapi sekarang jadi ko? Mungkin dulu ketika bercinta, segala-galanya baik. Segala perkara buruk hanya dipejamkan mata dan turut dianggap baik kerana yang penting adalah cinta.

Namun kini selepas sekian lama iaitu selama 17 tahun memendam rasa, baru puan sedar puan tidak boleh tahan lagi dengan segala sikap buruknya, lantas memikirkan untuk membuangnya daripada kehidupan puan.

Bagi Dang Setia, yang buruk tetap buruk dan Dang Setia juga tidak mahu mengatakan suami puan tidak bersalah. Namun, yang penting ialah puan perlu membuka fikiran seluas-luasnya dengan menyedari bahawa sebenarnya masih wujud alternatif lain untuk puan berusaha mengubah sikap suami, sekali gus membolehkan puan mengecap kebahagiaan.

Puan menyatakan sudah puas meminta dan menyuruhnya berubah namun dia enggan, jadi izinkan Dang Setia bertanya pernahkah puan bertanya suami apakah pula kelemahan atau kekurangan puan di matanya? Tidak mustahil, dia juga boleh membuat satu senarai mengenai hal itu.

Jadi, di sini sebenar kuncinya. Apabila dia memberi senarai kelemahan puan, buat perjanjian dengannya iaitu “mari kita sama-sama berubah.” Dang Setia percaya cara ini pasti lebih berkesan kerana ia membabitkan kedua-dua pihak.

Ia juga dirasakan lebih adil kerana bukan puan saja yang memintanya berubah, tapi pada masa sama puan perlu berubah untuk kebaikan bersama.

Akhir sekali, biasanya nasihat ini Dang Setia berikan kepada suami, tapi rasanya ia sesuai dan tidak salah untuk Dang Setia berikan pada puan.

Ketika suami puan tidur pada malam yang hening, tenung dan tataplah wajahnya dengan hati yang suci serta penuh keinsafan.

Sama ada puan suka atau tidak, wajah itulah yang selama 17 tahun lalu bekerja bertungkus lumus untuk mencari rezeki bagi menyara dan membahagiakan puan serta anak.

Kemudian, tanya diri puan, adakah enam kelemahannya yang puan senaraikan mampu mengatasi jasa dan sumbangannya selama 17 tahun lalu?

Jika jawapan puan ya, teruskan hasrat puan untuk meminta cerai daripadanya dan Dang Setia doakan puan akan menemui kehidupan lebih bahagia selepas ini.
Sumber: http://www.hmetro.com.my

  © Blogger template 'Solitude' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP